in

Kisah Tentera Kecil Jepun Yang Bertahan Dari Serangan Empayar Mongol

Gambar dari Wikimedia.

Tersebutlah kisah seorang budak lelaki bernama Temujin yang dilahirkan di sebelah utara Mongolia. Namanya Temujin bukanlah bermakna dia bertemu dengan jin, sebaliknya ia berasal daripada perkataan Mongol yang membawa erti ‘besi’. Mungkinkah kerana dietnya penuh dengan zat besi, mungkin juga kerana dia dianggap sebagai pemerintah kuku besi.

Apa yang pasti, Temujin berjaya mengembangkan empayarnya merentasi Eurasia melalui pembunuhan beramai-ramai, namun pada masa yang sama menggalakkan meritokrasi dan sikap tolak ansur di kalangan masyarakat berbilang agama. Cucu Genghis Khan adalah Kublai Khan yang mengembangkan empayar Mongols ke China.

Nun jauh di seberang, wujud pula Jepun, sebuah pulau yang terasing daripada seluruh dunia. Negara ini buat hal mereka sendiri – ada yang sibuk menghasilkan karya seni, ada yang sibuk mengupah samurai untuk bergaduh sesama sendiri. Bahkan, bilangan samurai menjadi terlalu besar sehingga mereka merampas kuasa maharaja dan mewujudkan kerajaan tentera yang juga dikenali sebagai shogunate.

Selain daripada itu, Jepun juga membawa masalah kepada negara-negara lain dengan lanun-lanunnya. Bukan lanun cetak rompak, tetapi lanun yang merompak kapal-kapal dagang. Tatkala Jepun sibuk dengan hal dalam negara, masalah lanun ini tidak ditangani.

Nak dijadikan cerita, pada suatu hari terdetik dalam hati Kublai Khan: Apa kata aku takluk Jepun, mereka kecil je pun.

Tapi Jepun kata, “Tak payah laaaa”

Patung Kublai Khan, gambar dari Wikimedia.

Kublai Khan menggelar Jepun sebagai ‘pulau kecil’. Pada tahun 1266, Mongol menghantar duta bagi meminta Jepun untuk ‘menjalinkan hubungan baik,’ kerana menurut Kublai Khan, ‘Tak perlulah sampai kita gunakan askar dan senjata.’

Dengan kata lain, maksud tersirat Kublai Khan adalah: Apa kata hangpa menyerah diri di siang hari sebelum kami menyiang hangpa menjadi sushi. Namun Jepun buat tak layan, jeling pun tak.

Kublai menghantar lagi rombongan duta sebanyak lima kali dalam tempoh enam tahun berikutnya, namun semuanya tidak dijawab.

Penat menunggu sesuatu yang tak pasti, kerajaan Khan pun bersedia untuk menyerang Jepun.

Serangan pertama 1274

Pertempuran di Hakata Bay. Image dari Wikimedia.

Kublai Khan berniat melancarkan serangan dari tahun 1268 lagi, namun dinasihatkan supaya dia mengumpul kekuatan tentera terlebih dahulu. Kerajaan Mongol kemudiannya menakluk China serta menjalin hubungan dengan Korea melalui perkahwinan, menjadikan empayar tersebut lebih kukuh.

Pada tahun 1274, kerajaan Mongol berjaya mengumpulkan seramai 40 ribu tentera, kebanyakannya di kalangan askar China dan Korea. Manakala di Jepun yang tak habis-habis bergaduh sesama sendiri, mereka hanya mampu mengerahkan seramai 10 ribu orang samurai.

Kelemahan Jepun bukan sahaja pada jumlah tentera, tapi juga dengan gaya perang mereka. Tentera samurai mampunyai prinsip yang dikenali sebagai bushido di mana seorang samurai akan tampil ke depan, mengumumkan nama dan keturunannya, lalu mencabar musuh untuk bertarung secara individu. Gaya ini mungkin biasa diamalkan dalam dunia Alam Perwira, namun ia tidak praktikal di medan perang. Tentera Mongol pun membalas cabaran ini dengan hujan anak panah yang disaluti racun, serta bom api yang merupakan satu teknologi baru pada zaman itu.

Tetsuhau, antara bom yang pertama di dunia. Imej dari Weapons and Warfare.

Tentera Mongol mula mengambil alih pulau Tsushima dan Ikki. Askar Jepun semakin terhimpit, dan hanya keajaiban boleh menyelamatkan mereka.

Dan tiba-tiba, keajaiban terjadi. Kekuatan muncul di diri~

Tentera Mongol sampai di Hakata Bay, Fukuoka. Pada mulanya mereka mempunyai kelebihan di medan perang sehinggalah malam tiba. Hujan lebat serta angin kuat datang bertalu-talu. Kelasi China dan Korea meminta jeneral Mongol untuk berundur ke laut kerana takut dilambung ombak. Namun apabila mereka berundur, mereka disambut pula dengan angin taufan.

Dua ratus kapal Mongol dilaporkan hilang di lautan dan yang selebihnya diambil oleh pihak Jepun. Tentera Mongol mengalami kekalahan yang besar dengan kematian 13 ribu orang askar.

Serangan kedua 1281

Walaupun Jepun menang di Hakata Bay, mereka mula mengambil serius akan ancaman Mongol. Rakyat diarahkan untuk membina dinding untuk mempertahankan benteng sungai, manakala sami-sami mereka berdoa kepada dewa perang.

Kublai Khan cuba untuk slow talk sekali lagi dengan menghantar sekumpulan duta, dan tidak membenarkan mereka pulang selagi tidak mendapat jawapan. Jepun dengan selamba memancung duta-duta tersebut. Ini merupakan jenayah antarabangsa yang berat kerana duta selaku penyampai mesej sepatutnya dibiarkan hidup.

Pertarungan di Hakata Bay. Gambar dari Wikimedia.

Dengan penuh amarah, Kublai Khan bersedia melancarkan serangan kedua. Dia tahu kekalahan sebelum ini adalah disebabkan bencana semula jadi dan bukannya disebabkan kekuatan samurai. Punyalah marah, Kublai Khan siap tubuhkan Kementerian untuk Menakluk Jepun.

Serangan kedua ini terdiri daripada 140 ribu askar yang terbahagi kepada dua tentera iaitu angkatan kecil askar Korea dan angkatan besar askar China. Jepun pula hanya mampu mengumpulkan 40 ribu orang tentera (ada sumber yang mengatakan nombor ini adalah tidak tepat).

Askar Korea tiba di Hakata Bay namun gagal merempuh pertahanan dinding yang dibina Jepun. Sementara menunggu bantuan, pihak samurai melemahkan mereka dengan mengayuh bot kecil ke kapal Mongol, menyalakan api serta menyerang askar Mongol sebelum pulang ke pantai.

Info: Anda boleh melawat Fukuoka dengan laluan terus dari Kuala Lumpur. Tempah penerbangan anda di airasia.com

Askar Korea patah semangat, lebih-lebih lagi apabila negara mereka baru sahaja ditawan Mongol, jadi mereka tidak mempunyai kesetiaan kepada Kublai Khan. Manakala pihak Jepun pula bertarung dengan gigih, menyedari bahawa nyawa mereka berada di hujung tanduk, lebih-lebih lagi apabila menjangka ketibaan askar China. Kali ini, hanya keajaiban kedua yang boleh menyelamatkan mereka.

Lukisan yang menggambarkan taufan yang melanda tentera Mongol. Gambar dari Wikimedia.

Dan sekali lagi, keajaiban terjadi. Kekuatan, muncul di diri~

Angin taufan sekali lagi melanda Hakata Bay. Sejumlah besar askar Mongol lemas di dalam ribut, manakala yang sampai di pantai mati kelaparan atau dibunuh oleh samurai.

Orang Jepun menamakan taufan ini sebagai ‘kamikaze‘ yang bererti ‘angin suci’ yang diturunkan oleh dewa mereka. Kublai Khan sendiri percaya dengan kuasa ghaib ini dan menghentikan segala rancangan untuk menakluk Jepun.

Namun begitu, pihak yang paling kalah teruk dalam perperangan ini adalah shogunate (kerajaan tentera) pada masa itu. Mereka gagal membayar gaji mahupun EPF kepada samurai dan sami, jadi mereka digulingkan oleh shogunate yang lain.

Kesan perang ini terhadap budaya Jepun

Serangan daripada Mongolia ini merupakan satu-satunya cubaan pihak luar untuk menakluk Jepun. Istilah kamikaze ini kemudiannya digunakan pada Perang Dunia ke-2 yang merujuk kepada juruterbang berani mati yang melanggar pihak musuh dengan kapal terbang mereka.

Perang ini juga dikatakan telah menyebabkan ciptaan pedang katana, sebuah senjata Jepun yang paling dikenali pada zaman sekarang. Ini kerana pedang tachi biasa tidak lut apabila bertemu dengan baju zirah Mongol yang diperbuat daripada kulit haiwan.

Hari ini, kebanyakan lokasi perang ini boleh dijumpai di bahagian Chuo, Hakata, dan Higashi di bandar Fukuoka. Di Higashi, Hakozaki Shrine telah dibina semula bagi memperingati perperangan ini.

Manusia merancang, Tuhan yang mentukan

Walaupun tentera Mongol mempunyai armada yang besar serta senjata yang jauh lebih canggih, namun mereka tidak mengambil kira faktor-faktor alam semulajadi seperti beratrung di pantai dan cuaca. Malah tentera Mongol tidak bersedia dengan pelan kedua sekiranya berlakunya ribut taufan (yang sememangnya tidak dijangka akan berlaku sekali lagi).

Satu lagi faktor kekalahan tentera Mongol adalah tentera yang dibawa. Walaupun jeneral yang mengetuai serangan adalah orang Mongol, tetapi kebanyakan askar terdiri daripada rakyat China dan Korea. Jadi mereka kurang rasa kesetiaan terhadap negara yang telah menakluk mereka.

Kini, tamadun Mongol yang dulunya sangat gah kini hanyalah dianggap sebagai masyarakat nomad. (Ironinya, Jepun kemudiannya mula menceroboh negara-negara lain dengan kejam sebelum dilumpuhkan oleh bom atom.)

Apa yang terjadi pada dua serangan Mongol ini adalah sangat unik, kerana sebab utamanya adalah dua taufan yang tidak diduga oleh kerajaan Mongol mahupun Jepun. Seperti apa yang selalu kita katakan, “Manusia merancang, Tuhan yang menentukan.”

 

What do you think?

Written by MK Zainal

MK was once involved in a magic gig. You know the trick where they cut a person into half? He was one of the halves.

Need Some Alone Time? Belitung Island Is Just the Place for You

Tasty Sakura Foods to Savour on Your Japan Cherry Blossom Trip